MAKHLUK WANITA
PASIR PUTEH, KELANTAN: Pada 22.3.2014 (Sabtu), Penulis bersama keluarga (empat orang) berkelah di tingkat satu Air Terjun Jeram Pasu, Pasir Puteh, Kelantan. Lazimnya sebelum ini kami santai-santai di sebuah jeram berpasir di tingkat satu itu juga.
Namun, pada tarikh tersebut kami santai-santai di sebuah kawasan yang agak jauh dari kawasan sebelum ini, di mana melihatkan keadaan tempat berkenaan memang agak meremang bulu roma, apatah lagi di kawasan yang dimaksudkan hanya di kawasan pasir yang agak sedikit, bongkah batu pula yang agak banyak. Sebelum ini juga, kawasan bongkah batu terbabit sentiasa melayani aliran air jeram yang mengalir ke bawah, tetapi pada tarikh kehadiran kami ke situ, bongkah batu itu agak kering disebabkan air jeram agak cetek.
Setibanya kami di kawasan yang dimaksudkan itu, lazimnya Penulis akan mendahului keluarga untuk melihat kawasan yang dimaksudkan, adakah sesuai untuk berkelah di kawasan tersebut. Ketika kami menuruni tebing jeram, tiada apa-apa yang kelihatan. Sehinggalah Penulis menghamparkan tikar plastik di tebing sebelah sini dan setelah keluarga Penulis semuanya berkumpul di tempat yang dihasratkan, Penulis terlihat satu bentuk lembaga lelaki di atas tebing di awal kami laluinya ketika itu.
Hanya yang Penulis dapat lihat dari kepala sehingga paras pinggang sahaja, manakala dari pinggang hingga ke kaki tidak kelihatan anggota makhluk tersebut. Selang beberapa minit kemudiannya, Penulis terlihat pula bentuk lembaga (makhluk halus) di atas sebuah bongkah batu yang dimaksudkan. Tetapi kemudiannya lembaga yang berdiri di atas bongkah batu itu tiba-tiba menghilang (ghaib). Sehinggalah minit yang berikutnya iaitu ketika Penulis sedang asyik merakam foto menggunakan telefon pintar Android, Penulis dapat melihat bentuk lembaga wanita (gadis) yang melangkah dari arah tikar plastik yang Penulis hamparkan sebelumnya. Bunyi seperti ada sesuatu yang melangkah bersebelahan tikar plastik itu memang disedari oleh isteri Penulis yang ketika itu sedang duduk di atas tikar plastik berkenaan, namun ketika beliau melihat ke arah bunyi tersebut, tiada apa-apa yang berlaku.
Apa yang diketahui, ketika beberapa keping foto dirakam di kawasan terbabit, terdapat sekeping foto lagi yang dapat merakam lembaga (kelihatan matanya sahaja), namun tidak kelihatan tubuh badannya. Bahkan ketika Penulis menghalakan telefon pintar berkamera ke arah bongkah batu yang dimaksudkan, kelihatan objek (lembaga) dengan agak jelas sebanyak empat kali, namun apabila dirakam tidak kelihatan lembaga yang dimaksudkan.
Namun, foto yang paling jelas ialah apabila Penulis dapat merakam foto lembaga wanita berpakaian hitam sebagaimana yang dilihat oleh Penulis selepas menghamparkan tikar plastik itu. Tetapi, lembaga terbabit telah berada di seberang tebing. Pada hemat Penulis, mungkin lembaga terbabit agak terkejut dengan kehadiran kami yang menyebabkan mereka berpindah ke tempat lain.
Walau bagaimanapun, foto lembaga wanita kurus yang berpakaian hitam memang jelas kelihatan yang turut dipaparkan dalam majalah JEJAK SILUMAN ini. Sememangnya, Air Terjun Jeram Pasu adalah tempat dan perkampungan makhluk halus kerana di hujung jeram ini terdapat tujuh (7) buah pasu yang hanya dapat dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja. Penulis sendiri pernah melihat sebuah pasu ketika mandi di hujung Jeram Pasu ini pada tahun 2009 dulu. Pasu inilah laluan ke alam makhluk halus tersebut.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH