JEJAK SILUMAN: Majalah Maya . Majalah Web . Media Dalam Talian . Memaparkan Foto . Jin . Langsuir . Pontianak . Hantu . Pocong . Toyol . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Khamis, 26 Mei 2016

Seligi Botol?


SELIGI BOTOL?

GUA MUSANG, KELANTAN: Pada 25.5.2016, kami sekeluarga baharu pulang dari Kuala Lumpur dan singgah di Hentian Gua Musang untuk solat Subuh di situ. Setelah selesai solat, kami bertolak pulang.

Lazimnya sebelum ini kami melalui laluan Kampung Chiku Satu, Gua Musang itu untuk ke Kota Bharu. Tetapi pada pagi itu, Wartawan JEJAK SILUMAN melihat keadaan sebelah kiri (yang menempatkan banyak gunung, bukit dan gua) agak berlainan.

Pada mulanya, Wartawan JEJAK SILUMAN cuba rakam dengan infra-red, namun fotonya agak berbalam dan tidak berapa jelas. Penulis sekali lagi cuba rakam menggunakan "video", videonya agak jelas tetapi objek berkenaan juga tidak kelihatan.

Akhirnya, Wartawan JEJAK SILUMAN merakam menggunakan lampu kamera (flash). Sekali ketik saja, objek yang tidak diketahui makhluk jenis apa itu muncul di skrin kamera. Justeru, Wartawan JEJAK SILUMAN menamakannya sebagai "Seligi Botol" berikutan makhluk halus ini pernah Penulis lihat pada tahun 1986 ketika Penulis berada di kampung mertua di Pasir Mas.

Objek yang seakan sama dengan komet itu begitu jelas. Bezanya komet dari angkasa meluncur ke bumi. Tetapi objek berkenaan seperti sedang terbang berhampiran dengan gunung, bukit-bukau dan gua di situ.

Foto ini dirakam di Kampung Chiku Satu, Gua Musang, Kelantan pada 25.5.2016, jam 6.45 pagi.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 27 Jun 2014

Burung Jin: Dungun (Terengganu)

BURUNG JIN?


DUNGUN, TERENGGANU:  Pada 5.6.2014, kami sekeluarga ke Pantai Teluk Lipat yang terletak di Kampung Sura, Dungun, Terengganu. Difahamkan, pantai ini akan dijadikan pelabuhan terbaru di Kuala Terengganu memandangkan kawasan tersebut telah dijalankan projek terbabit.

Apabila kami tiba di tepi pantai terbabit, Penulis merakam 15 keping foto. Dalam banyak foto itu, hanya foto yang kesembilan membentuk lembaga seperti seekor burung itu. Manakala foto yang ke-10 dalam kedudukan yang sama, tidak lagi kelihatan objek berbentuk lembaga seperti itu padahal kedua-dua foto berkenaan dalam keadaan yang sama.

Boleh jadi, makhluk itu muncul secara tidak sengaja lalu melintas untuk melihat kehadiran kami di kawasan pantai terbabit.

Foto ini dirakam di Pantai Teluk Lipat, Kampung Sura, Dungun, Terengganu pada 5.6.2014 jam 9.39 malam.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 7 Mei 2014

Pelesit: Pulau Kundor (Kota Bharu)

PELESIT




KOTA BHARU, KELANTAN:  Ketika majlis ijab kabul mangsa pada 2.5.2014 yang lalu, seekor serangga terbang ke sana ke mari seperti ingin mengganggu majlis tersebut. Kesemua hadirin tidak mengetahui (tidak nampak) serangga itu, diketahui melalui rakaman video dalam sebuah masjid dekat pantai terbabit.

Pada sebelah malamnya, iaitu kira-kira jam 3.00 pagi, mangsa dikejutkan oleh suara kasar seolah-olah membangunkannya dari tidur. Apabila tersedar dari tidur akibat terkejut dengan suara itu, mangsa melihat dengan jelas makhluk halus terbabit seorang perempuan berjubah yang agak lusuh di dalam sebuah bilik tidur dalam rumah terbabit.

Sejak itu, mangsa menjadi tidak berselera makan, loya, berasa hendak muntah, pening, sakit kepala, suhu badan menjadi panas, letih, tidak bermaya dan menjadi pemarah. Bimbang hal berkenaan menjadi lebih parah, mangsa menemui pengamal rawatan tradisional lalu membuang dan menangkapnya serta dimasukkan di dalam sebuah botol.

Foto berkenaan dirakam pada 6.5.2014 dalam suasana yang agak gelap kerana jika dirakam dalam suasana terang, objek pastinya tidak dapat dilihat.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH 

Selasa, 22 April 2014

Langsuir: Kg.Temangan Lama (Machang)

LANGSUIR



MACHANG, KELANTAN: PADA 21.4.2014, Wartawan JEJAK SILUMAN pulang ke kampung halaman kerana ada kerja yang perlu diselesaikan di rumah kosong tinggalan pusaka kedua-dua arwah orang tua. Setelah tibanya waktu Maghrib, Penulis mandi seperti biasa dan selepas itu mengalunkan azan di rumah kosong tinggalan arwah itu. Selepas mengumandangkan azan, Penulis menunaikan solat Maghrib dan selepas itu membaca Al-Quran. Ketika Penulis sedang memegang Al-Quran untuk dibaca, dengan tiba-tiba terdengar bunyi suara "mengilai" dan "ketawa beramai-ramai". Bunyinya agak jelas menusuk telinga dari arah hadapan rumah arwah. Mungkin makhluk ghaib (makhluk halus) itu sudah memerhatikan gerak-geri Penulis di dalam rumah yang menyebabkan mereka mengilai dan ketawa beramai-ramai (mungkin lucu agaknya melihat Penulis memegang Al-Quran), sedangkan hal berkenaan sering dilakukan oleh Penulis setiap kali selepas solat.

Namun, Penulis tidak mempedulikan hal itu, lalu Penulis mula membaca Al-Quran surah Al-Baqarah menyebabkan tiada lagi kedengaran suara ketawa itu. Setelah selesai membaca Al-Quran (kira-kira dua lembaran), Penulis meletakkan Al-Quran itu di tempat biasa. Lantas dan secara pantas Penulis mencapai kamera untuk merakam detik-detik yang agak mahal pada malam itu dari waktu Maghrib hingga Isyak.

Ketika Penulis merakam foto pertama (jam 8.06 malam, menggunakan lampu kamera) dan foto kesembilan (jam 8.08 malam, menggunakan infra-red) didapati tiada sebarang objek yang wujud dalam foto itu. Namun, apabila Penulis merakam foto yang kesembilan belas (jam 8.13 malam, menggunakan lampu kamera), kelihatan dua makhluk terpapar dalam foto berkenaan. Makhluk halus pertama disifatkan sebagai "langsuir" kerana bertenggek di batang pokok (dalam bulatan) tetapi tidak diketahui makhluk yang kelihatan di bahagian bawahnya.

Foto ini dirakam di Kampung Temangan Lama, Machang, Kelantan pada 21.4.2014 jam 8.13 malam.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 23 Mac 2014

Makhluk Wanita: Jeram Pasu (Pasir Puteh)

MAKHLUK WANITA



PASIR PUTEH, KELANTAN: Pada 22.3.2014 (Sabtu), Penulis bersama keluarga (empat orang) berkelah di tingkat satu Air Terjun Jeram Pasu, Pasir Puteh, Kelantan. Lazimnya sebelum ini kami santai-santai di sebuah jeram berpasir di tingkat satu itu juga.

Namun, pada tarikh tersebut kami santai-santai di sebuah kawasan yang agak jauh dari kawasan sebelum ini, di mana melihatkan keadaan tempat berkenaan memang agak meremang bulu roma, apatah lagi di kawasan yang dimaksudkan hanya di kawasan pasir yang agak sedikit, bongkah batu pula yang agak banyak. Sebelum ini juga, kawasan bongkah batu terbabit sentiasa melayani aliran air jeram yang mengalir ke bawah, tetapi pada tarikh kehadiran kami ke situ, bongkah batu itu agak kering disebabkan air jeram agak cetek.

Setibanya kami di kawasan yang dimaksudkan itu, lazimnya Penulis akan mendahului keluarga untuk melihat kawasan yang dimaksudkan, adakah sesuai untuk berkelah di kawasan tersebut. Ketika kami menuruni tebing jeram, tiada apa-apa yang kelihatan. Sehinggalah Penulis menghamparkan tikar plastik di tebing sebelah sini dan setelah keluarga Penulis semuanya berkumpul di tempat yang dihasratkan, Penulis terlihat satu bentuk lembaga lelaki di atas tebing di awal kami laluinya ketika itu.

Hanya yang Penulis dapat lihat dari kepala sehingga paras pinggang sahaja, manakala dari pinggang hingga ke kaki tidak kelihatan anggota makhluk tersebut. Selang beberapa minit kemudiannya, Penulis terlihat pula bentuk lembaga (makhluk halus) di atas sebuah bongkah batu yang dimaksudkan. Tetapi kemudiannya lembaga yang berdiri di atas bongkah batu itu tiba-tiba menghilang (ghaib). Sehinggalah minit yang berikutnya iaitu ketika Penulis sedang asyik merakam foto menggunakan telefon pintar Android, Penulis dapat melihat bentuk lembaga wanita (gadis) yang melangkah dari arah tikar plastik yang Penulis hamparkan sebelumnya. Bunyi seperti ada sesuatu yang melangkah bersebelahan tikar plastik itu memang disedari oleh isteri Penulis yang ketika itu sedang duduk di atas tikar plastik berkenaan, namun ketika beliau melihat ke arah bunyi tersebut, tiada apa-apa yang berlaku.

Apa yang diketahui, ketika beberapa keping foto dirakam di kawasan terbabit, terdapat sekeping foto lagi yang dapat merakam lembaga (kelihatan matanya sahaja), namun tidak kelihatan tubuh badannya. Bahkan ketika Penulis menghalakan telefon pintar berkamera ke arah bongkah batu yang dimaksudkan, kelihatan objek (lembaga) dengan agak jelas sebanyak empat kali, namun apabila dirakam tidak kelihatan lembaga yang dimaksudkan.

Namun, foto yang paling jelas ialah apabila Penulis dapat merakam foto lembaga wanita berpakaian hitam sebagaimana yang dilihat oleh Penulis selepas menghamparkan tikar plastik itu. Tetapi, lembaga terbabit telah berada di seberang tebing. Pada hemat Penulis, mungkin lembaga terbabit agak terkejut dengan kehadiran kami yang menyebabkan mereka berpindah ke tempat lain.

Walau bagaimanapun, foto lembaga wanita kurus yang berpakaian hitam memang jelas kelihatan yang turut dipaparkan dalam majalah JEJAK SILUMAN ini. Sememangnya, Air Terjun Jeram Pasu adalah tempat dan perkampungan makhluk halus kerana di hujung jeram ini terdapat tujuh (7) buah pasu yang hanya dapat dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja. Penulis sendiri pernah melihat sebuah pasu ketika mandi di hujung Jeram Pasu ini pada tahun 2009 dulu. Pasu inilah laluan ke alam makhluk halus tersebut.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 18 Mac 2014

Kepala Langsuir: Sepang (Selangor)

KEPALA LANGSUIR


Lembaga (dalam bulatan merah) ini adalah langsuir yang baring di atas katil di sebuah resort, Sepang Palm Grove Resort, Sepang, Selangor. Kelihatannya adalah kepala langsuir itu sahaja. Akibat jelmaan ini menyebabkan bayi di dalam resort terbabit sering menangis.

Foto ini dirakam di Sepang Palm Grove Resort, Sepang, Selangor pada 22.2.2014.

Foto Sumbangan:
TARMIZI

Isnin, 11 November 2013

Toyol: Kg.Pauh Panji (Kota Bharu)

TOYOL


Foto ini dirakam di Kampung Pauh Panji, Kota Bharu, Kelantan pada 7.11.2013 jam 10.55 malam.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH