LANGSUIR
MACHANG, KELANTAN: PADA 21.4.2014, Wartawan JEJAK SILUMAN pulang ke kampung halaman kerana ada kerja yang perlu diselesaikan di rumah kosong tinggalan pusaka kedua-dua arwah orang tua. Setelah tibanya waktu Maghrib, Penulis mandi seperti biasa dan selepas itu mengalunkan azan di rumah kosong tinggalan arwah itu. Selepas mengumandangkan azan, Penulis menunaikan solat Maghrib dan selepas itu membaca Al-Quran. Ketika Penulis sedang memegang Al-Quran untuk dibaca, dengan tiba-tiba terdengar bunyi suara "mengilai" dan "ketawa beramai-ramai". Bunyinya agak jelas menusuk telinga dari arah hadapan rumah arwah. Mungkin makhluk ghaib (makhluk halus) itu sudah memerhatikan gerak-geri Penulis di dalam rumah yang menyebabkan mereka mengilai dan ketawa beramai-ramai (mungkin lucu agaknya melihat Penulis memegang Al-Quran), sedangkan hal berkenaan sering dilakukan oleh Penulis setiap kali selepas solat.
Namun, Penulis tidak mempedulikan hal itu, lalu Penulis mula membaca Al-Quran surah Al-Baqarah menyebabkan tiada lagi kedengaran suara ketawa itu. Setelah selesai membaca Al-Quran (kira-kira dua lembaran), Penulis meletakkan Al-Quran itu di tempat biasa. Lantas dan secara pantas Penulis mencapai kamera untuk merakam detik-detik yang agak mahal pada malam itu dari waktu Maghrib hingga Isyak.
Ketika Penulis merakam foto pertama (jam 8.06 malam, menggunakan lampu kamera) dan foto kesembilan (jam 8.08 malam, menggunakan infra-red) didapati tiada sebarang objek yang wujud dalam foto itu. Namun, apabila Penulis merakam foto yang kesembilan belas (jam 8.13 malam, menggunakan lampu kamera), kelihatan dua makhluk terpapar dalam foto berkenaan. Makhluk halus pertama disifatkan sebagai "langsuir" kerana bertenggek di batang pokok (dalam bulatan) tetapi tidak diketahui makhluk yang kelihatan di bahagian bawahnya.
Foto ini dirakam di Kampung Temangan Lama, Machang, Kelantan pada 21.4.2014 jam 8.13 malam.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH